ANTARA PEMUDI PANJAT PAPAN TANDA 'IPOH' DAN KISAH SEDIH PREBET AWANIS OTHMAN

loading...
ANTARA PEMUDI PANJAT PAPAN TANDA 'IPOH' DAN KISAH SEDIH PREBET AWANIS OTHMAN





Tadi aku membaca kisah sekumpulan pemudi yang memanjat papan tanda `IPOH’ baru-baru ini. Mereka tampil memohon maaf, mengakui kesilapan kepada semua.
“Saya mahu beritahu di sini saya dan rakan-rakan yang lain mahu meminta maaf kepada masyarakat, memang kami tahu perbuatan ini salah,”. Namun, kata salah seorang daripada mereka, dia dan rakan-rakannya berpengalaman dalam melakukan aktiviti lasak termasuk melakukan tugas lagak ngeri secara sambilan bagi penggambaran filem malah sering kali mendaki bukit dan gunung kebanyakan di luar negara.
Bila membaca kisah mereka, ingatan aku mengimbau cerita 19 tahun lepas. Akhbar melaporkan tiga perajurit wanita (pranita) Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC) 10 Briged Para Kem Terendak, Melaka melakukan 11 kali penerjunan bebas dari ketinggian 3,000 meter memecahkan penguasaan golongan lelaki dalam bidang tersebut selama ini. Penerjunan itu merupakan sebahagian daripada Kursus Asas Terjun Bebas yang dijalankan.
Pranita yang menjadi kebanggaan golongan wanita itu ialah Lans Koperal Thalasiah Yaacob dari Unit Ordnan 10 Briged (Kerani Lojistik) dan Dina ak Sebam serta Awanis Othman dari Markas 1 Briged Para (Bahagian Gaji Belanjawan).
Namun tidak sampai tujuh bulan selepas itu, tragedi menimpa apabila dua anggota tentera termasuk seorang wanita yang pernah menerima anugerah 'sayap berdarah' itu TERKORBAN ketika mengadakan latihan penerjunan bebas di Kem Terendak, Masjid Tanah, Melaka.
Mereka ialah jurulatih payung terjun, Sarjan Ali Ahmad, 35, dari kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pranita Awanis Othman sendiri! Dia baru berusia 21 tahun ketika itu.
Kedua-duanya mati di tempat kejadian apabila payung terjun mereka dikatakan tidak berfungsi ketika terjun dari pesawat Nuri yang ketika itu berada pada ketinggian kira-kira 6,000 meter dari permukaan bumi.
Kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi semasa kedua-dua anggota terbabit bersama kira- kira 20 orang tentera lain sedang mengadakan sesi latihan penerjunan bebas.
Ali yang bertindak sebagai jurulatih dalam latihan itu dipercayai cuba membantu Awanis di udara apabila payung terjun pranita itu dikatakan gagal dikembangkan. Payung terjun Ali juga dikatakan hanya dapat dikembangkan ketika hampir sampai ke tanah sebelum kedua-duanya jatuh di atas jalan raya di kawasan kem berkenaan.
Ali berasal dari Kampung Bahagia, Batu Pahat manakala Awanis berasal dari Kuala Nerang, Kedah.
Mayat kedua-dua mangsa itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kem Terendak sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
Nahas itu berlaku ketika mangsa sedang menjalankan latihan biasa bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang semua penerjunan. Laporan awal menunjukkan kesemua peraturan telah dipatuhi oleh kedua-dua penerjun itu.
Apa yang aku nak katakan di sini, sedangkan anggota tentera yang dilatih khas dan lengkap dgn peralatan pun tidak boleh mengelak kemalangan yang terjadi, apatah lagi sekumpulan pemudi berkenaan yang nampak sangat masih lagi 'amatur.'
Betul ajal maut kuasa Tuhan tetapi Tuhan juga beri kita akal dan fikiran. Kalaupun tak menyusahkan diri sendiri, tolonglah jangan menyusahkan orang lain. Setidak-tidaknya kedua-dua anggota tadi terbukti maut dalam usaha hendak mempertahankan agama, bangsa dan negara tetapi kalau adik-adik manis kita tadi TERJATUH masa sedang nak selfie - camana kita nak 'tafsir' pulak dik?
Al-Fatihah buat Awanis dan Sarjan Ali...buat adik2 comel yang panjat signboard Ipoh tu satu jelah abang nak pesan..rezeki jangan ditolak tapi maut jangan dicari ye dik non....
loading...

0 Response to "ANTARA PEMUDI PANJAT PAPAN TANDA 'IPOH' DAN KISAH SEDIH PREBET AWANIS OTHMAN"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close