loading...
Nak mengandung? Nak rezeki datang? Bersedekahlah
Dari IIUM Confessions
Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kalau sudi menyiarkan confession saya dan terima kasih juga sekiranya anda membaca. Ketahuilah bahawa saya sangat berharap anda mendalami maksud yang hendak disampaikan. Sesungguhnya, jika ada unsur riak ketika anda membaca penulisan ini, ketahuilah bahawa saya tidak punya maksud sedemikian rupa. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Saya pernah membaca buku apa entah tajuknya tapi pasal hikmah-hikmah sedekah. Kebanyakannya tentang orang berniaga. Nak untung? Sedekah. Nak jualan naik mencanak? Sedekah.
Saya cuma mampu baca sebab saya tak berniaga. Tetapi, saya nak kongsi dengan semua tentang ajaibnya bersedekah. Semua ini berlaku pada diri saya, seorang hamba Allah yang hina dan sering membuat dosa. Semoga pahala yang diperoleh, boleh ditebus dengan dosa-dosa saya selama ini.
Peristiwa pertama
Saya seorang bekas murid sebuah sekolah menengah berasrama di Pahang. Masa zaman persekolahan 14 tahun lalu, duit syiling sangat penting ibarat nyawa. Gigih belanja 20 sen di koperasi semata-mata nak mendapatkan syiling 80 sen. Nak buat apa? Nak telefon mak ayah, tanya bila nak datang, tolong bawa itu ini dan sebagainya.
Satu hari, saya ke klinik kerana demam. Semasa menunggu van sekolah mengambil saya selepas menerima rawatan, ada seorang makcik datang mendekati saya.
"Nak, tolong telefon anak makcik nak. Bagitau makcik dah siap. Boleh ambil dah. Makcik cari syiling tak jumpa.”
Masa itu, syiling saya sangat kritikal. Ada tapi tak sampai seringgit. Nak call mak ayah lagi. Tapi saya pergi ke telefon awam dan menghubungi anak makcik itu, maklumkan ibunya sudah siap dan memintanya datang.
Makcik itu tunggu agak jauh dari saya. Tiba-tiba makcik tu datang.
“Nah ambil semua duit ini. Tadi guna duit anak kan? Anak makcik dah datang. Terima kasih ye.”
Allah. Allah. Allah. Dapatlah dua genggam syiling pada masa itu. Subhanallah. Terkedu di situ juga.
Peristiwa kedua, ketika saya sudah bekerja
Saya bekerja sebagai guru. Satu hari, saya tengok anak murid saya macam selekeh sangat. Tak makan, tak terurus lalu saya memanggilnya dan bertanya, “tak rehat ke?”. Jawabnya. “tak cikgu, ayah saya tak kerja.” simple.
Saya tahu kesusahan beliau tetapi tak terfikirlah sampai sedaif itu. Lalu saya menghulur RM10.
"Ambil duit ini untuk dibuat belanja sampai esok. Jangan tak datang pula”.
Selepas mengucapkan terima kasih, anak murid itu terus pergi rehat. Saya pun naik ke bilik guru.
Tiba-tiba ada seorang cikgu datang berjumpa dengan saya.
"Ini RM100 duit dari PIBG penghargaan sebab buat kelas sepanjang tahun lepas.
Dalam masa 10 minit, RM10 saya dah digantikan dengan RM100. Allah Maha Kaya.
Peristiwa ketiga
Saya seorang jenis yang ingin punya anak awal. Rezeki saya mengandungkan anak pertama kira-kira lima bulan selepas berkahwin. Sebenarnya tidak terlalu awal bagi sesetengah orang.
Sebelum saya tahu bahawa diri saya mengandung, saya pergi ke sebuah rumah anak yatim yang benar-benar dhaif. Masa itu tiada orang sebab semua orang pergi solat Jumaat. Saya tinggalkan beberapa beg beras dan saya masukkan sedekah saya di dalam tabung di luar pejabat rumah anak yatim tersebut. Saya tinggalkan nota berbunyi
“Sedekah untuk anak-anak. Doakan saya juga dapat rezeki anak.”
Beberapa hari kemudian saya dapat tahu saya mengandung. Syukurnya Ya Allah. Saya harap nota tu tak terbang dibawa angin.
Saya rasa cukuplah tiga peristiwa ini sebagai pendorong untuk anda bersedekah. Di sini saya ingin kongsikan sedikit tips : –
- Jangan tunggu bila dah ada duit, baru nak sedekah atau bila dah sihat, baru sedekah. Ini sebab potensi untuk anda lupa niat nak bersedekah itu sangat tinggi. Sedekahlah supaya anda ada duit. Sedekahlah agar anda sihat.
- Niat semasa sedekah. “Ya Allah, aku sedekah ini bagi pihak aku dan keluargaku. Berikanlah aku sekian sekian sekian.” Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
- Seeloknya sedekahkan makanan. Biar terus menjadi darah daging dan beranak pinak dengan darah daging hasil derma anda.
- Kalau nak sedekahkan kepada anak yatim, cari yang betul-betul memerlukan. Biar mereka merasa sama apa yang anda dan anak-anak anda rasa.
- Nak mengandung? Nak rezeki datang? Sedekahlah. Kadang-kadang kita terlupa bahawa yang memberi rezeki ialah Allah swt.
- Kalau nak orang doakan, sila nyatakan dengan jelas apa yang anda nak. “Doakan saya dapat baby” “Doakan saya dapat 10A+”
- Jangan rasa jemu bersedekah. Minggu lepas anda sedekah tak dapat apa-apa yang luar biasa? Ketahuilah anda bahawa mungkin sebenarnya ketika anda pulang dari kerja minggu lepas sebenarnya tayar anda akan pancit. Tapi kerana sedekah anda, rezeki anda untuk berjimat sebanyak RM100. Kita tak tahu. Allah Maha Mengetahui.
- Sedekahlah pada hari Jumaat untuk dapatkan pahala berganda.
- Doa juga sedekah. Alfatihah juga sedekah.
- Kongsikan entry ini juga sedekah. Tolong saya. Saya nak dapat pahala. Orang lain baca dan bersedekah, anda juga dapat pahala.
Semoga kita semua diberi kesempatan untuk bersedekah sebanyak mungkin dan sedekah kita bermanfaat sebelum kita menghadap pencipta. Saya doakan yang terbaik buat kalian, doakan juga yang terbaik untuk saya dan keluarga.
Ingatlah, rezeki yang berkat itu ada tiga:
- Makanan yang dihabiskan
- Pakaian/barangan yang digunakan hingga lusuh
- Rezeki yang disedekahkan
Hamba Allah yang mengharapkan pahala tidak putus.
loading...
0 Response to "Nak mengandung? Nak rezeki datang? Bersedekahlah"
Post a Comment